March 06, 2012

Secebis Waktu

Assalamualaikum  w.b.t ,

hakikat kehidupan

Sudah hampir separuh perjalanan di UKM ini dilalui , pelbagai jenis rasa asam garam manis kehidupan dirasai dan banyak persoalan yang timbul jauh di benak hati ini memikir akan apa yang diisi dalam tempoh menimba ilmu kali ni. Sedar atau tidak , semester kali ini pasti akan melabuhkan tirainya seperti kebiasaan ,  sedar mahupun secara tak sedar . Memang kebiasaan adab yang datang akan pergi jua , dan yang dikejar akan semakin jauh dan yang dibiar pasti akan hilang . Kita mudah terlupa yang umur dan waktu sentiasa bergerak meninggalkan kita , tiada perhentian untuk berhenti seketika , tiada juga persinggahan untuk berehat seketika . Kedua-duanya tetap maju kehadapan , bergerak tanpa berhenti , tanda kekuasaan ilahi yang kita selalu terlepas pandang dan hanya mengambil atau memandang ringan akannya. Hakikat hidup ini hanyalah sementara , dan Nabi pernah mengingatkan kita tentang perihal kehidupan ini dalam hadis yang sahih,

“ Saya di dunia ini bagaikan penunggang kenderaan yang berehat di bawah sebatang pokok, kemudian pergi meninggalkanya .”( riwayat at-tirmizi ) dipetik dari travelog minda tajdid oleh DrMAZA. 
 
Demikianlah hakikat hidup dibumi Allah ini yang hanya bersifat sementara , hanya sebagai persinggahan sementara untuk manusia mengutip dan menyiapkan diri untuk kehidupan yang hakiki di sana nanti. Kita sering terlupa dan tersasar dari matlamat hidup yang utama , bahkan kita sering meletakkan benda lain sebagai priority utama melebihi daripada menjadi hamba yang beribadat kepadaNya dan memegang amanahNya dengan jujur dan ikhlas. Masing-masing masih kelihatan sibuk dengan pelbagai tugas dan masalah , mengejar apa yang sementara dan dalam waktu yang sama jauh dari menuju yang kekal nanti . Bukan bermaksud mengejar yang sementara itu salah dan berdosa , cuma kadang-kadang kita berlaku tidak adil kepada diri kita sendiri dengan tidak mengimbangi sementara dan kekal  itu dengan adil. Janganlah kita menzalimi diri sendiri . Berfikirlah wahai manusia sekalian !!

“ Apakah tidak kamu berfikir ” surah Al- An’am ayat ke-50

        Masa dan waktu  boleh dianggap sinonim dengan kehidupan seorang pelajar , waktu yang lapang akan terasa kosong dan membosankan sekiranya tiada pengisian yang betul-betul mampu dapat meninggalkan kesan terhadap diri kita sendiri . Menempa pemikiran kita di waktu lapang ini dengan pengisian yang membina dapat membentuk hati yang sihat dengan secara tidak langsung . Dan hati yang sihat dan bersih dapat dilihat dalam diri seseorang kaya dengan sifat-sifat mahmudah dan bukannya mazmumah . Pelbagai ujian mahupun masalah dan rintangan serta halangan yang akan terus menerus hadir tanpa di undang yang sering kali kita merungut , putus asa tanpa memikir hikmah disebalik imtihan dari Allah .  Dugaan yang hadir itu adalah sebagai satu latihan untuk melatih kita sebagai hambaNya dalam mendekatkan diri dengan Allah sebagai wasilahnya dengan sabar, sangka baik serta mengharapkan pertolongan dari Allah . Dan ingatlah, andaikata kita diduga, kita masih wajib bersyukur kerana masih begitu banyak nikmat lain yang tak terkira yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika ditimpa dugaan dan ujian Demikianlah, mereka yang tinggi nilai taqwa dan keimananya, tidak mengeluh apabila ditimpa dugaan. Berbeza dengan golongan orang yang lemah taqwa dan keimanannya , apabila ditimpa dugaan kita mudah sangka buruk dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan dugaan kepada kita .

Allah berfirman bermaksud: Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.                     (Surah al-Anbiya, ayat 35)

reach inside your heart

            Perlahan-lahan usia kita berjalan , masa seakan-akan berlari dan waktu sering kali berganti , dan kita pun juga begitu sekiranya kita sedar . Sedar dan leka , beruntunglah orang yang sentiasa bergerak tanpa berhenti , orang yang sentiasa berfikir dan orang yang bersyukur . Universiti kehidupan akan terus mengajar kita erti dan hakikat hidup itu sendiri . Masa dan pengalaman pasti akan menjadi lecturer yang setia mendidik dan mengajar kita dalam menempuh kehidupan yang fana ini . Waktu yang lapang sebelum sempit , waktu kaya sebelum miskin , waktu sihat sebelum sakit dan waktu hidup sebelum mati . Kehidupan dunia ini hanyalah merupakan tempat persinggahan sementara bagi kita untuk menyediakan bekalan yang akan dibawa ke akhirat, dunia bukan matlamat akhir, dunia hanyalah merupakan perantaraan atau wasilah untuk menuju ke lokasi atau perjalanan akhir dalam kehidupan manusia iaitu akhirat , alam selepas berlakunya kiamat yang kekal nanti .

Sesungguhnya aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. dan bukan juga yang paling soleh  dalam kalangan kamu, kerana aku juga seorang manusia , yang pernah melampaui batas untuk diri sendiri . dan mungkin akulah yang paling hina dalam kalangan kamu semua .. iltizam

0 kritikan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...